.:: followers ::.

Tuesday 26 October 2010

. lelaki tua itu .


Aku kagumi dia. Lelaki yang aku sanjungi. Aku terlalu rindukan dia. Tidak dapat lagi aku melihat renungannya. Renungan mata tua yang meniti usia.

Suatu hari, dia mengadu kesakitan di dadanya. Dia bilang pada semua sakit biasa. Masakan sakit biasa, begitu sekali dia menahan kesakitan. Lama kelamaan dia semakin sakit, semakin kurus. Dulu dia lelaki gagah. Walau dia sudah dimamah usia 70 an ,  masih kuat kudratnya.

Dia semakin kurus. Sehinggakan aku tidak mampu untuk menatapnya. Aku sedih melihat keadaanya. Kesengsaraan yang ditanggungnya. Di sisinya, setia si isteri menemani. Melayan kerenahnya. Menjaga makan pakainya. Aku juga kagumi wanita itu. Sungguh tabah dia menghadapi dugaan Tuhan kali ini.

Kali terakhir aku melihatnya, sewaktu dia masih di hospital. Aku lihat dia semakin sembuh. Lapang dadaku melihat keadaanya kerana tidak lama lagi aku akan berangkat ke utara. Melanjutkan pelajaran di sana.

Hari yang di tunggu telah tiba. Aku akan berangkat ke sana. Tetapi aku disuruh pulang kerana aku dijangkiti ciken pox. Aku pulang semula ke rumahku. 

Semasa aku sedang lena dibuai mimpi-mimpi indah, aku dikejutkan oleh ibuku. Dalam keadaan bingung, aku mendapat khabar berita bahawa lelaki itu telah nazak.

Ketika dalam perjalanan pulang ke kampungku, kami mendapat berita bahawa dia telah tiada. Tuhan lebih sayangkannya. Aku tidak tahu harus berbuat apa. aku masih bingung. Seperti dalam mimpi.

Setibanya di kampung, aku lihat sekujur tubuh terbaring di ruang tamu. Ternyata, aku tidak bermimpi. Lelaki itu telah pergi meninggalkan kami. Lelaki yang aku sanjungi, yang aku sayangi telah pergi selamanya. Hanya sekujur tubuh kaku sahaja yang tinggal.

Rupanya, di akhir hayatnya, dia menyebut akan aku. Dia berkata bila lagi dia akan dapat berjumpa dengan aku. Aku TERKESIMA. Aku terkilan kerana aku tidak dapat mengucupnya kerana keadaan aku ketika itu tidak mengizinkan aku mendekatinya. Aku hanya mampu melihatnya dari jauh ketika orang ramai mahu membawanya ke tanah perkuburan.

Kini telah 2 tahun pemergiannya. Tetapi aku sentiasa merasakan yang dia selalu ada bersama-sama dengan aku. Kadang-kadang dia hadir dalam mimpiku, tanpa kata, tanpa bicara. Aku sedih bila mengingatinya. Aku jadi sebak. Kadangkala aku nangis terus. Aku benar-benar merinduinya. Aku rindu mahu mencium tangannya. Aku rindu mahu bergurau dengannya. Aku rindu dia memanggilku dengan nama penuhku.

Jika dia masih ada, aku mahu dia ada semasa aku konvokesyen nanti. Aku mahu dia melihat aku berkahwin nanti. Aku juga mahu dia melihat aku punya keluarga. Tetapi, itu semua mustahil kerana dia telah meninggalkan aku selamanya. Alfatihah.


Alfatihah buat datukku tersayang Ahmad Bin Taib..

No comments: